Saturday 23 September 2017

PERBANDINGAN ANTARA SYARIAT DAN FIQH

1.0 PENDAHULUAN

Secara amnya, kedua -dua syariat dan fiqh diperlukan dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim dan khalifah Allah di muka bumi ini. Ringkasnya, syariat dijadikan panduan oleh umat manusia dengan tujuan untuk tidak terlalu tersasar dalam tujuan hidup, manakala fiqh sebagai suatu ilmu yang memberi penerangan lanjut mengenai hukum-hukum umum. 

2.0 ISI KANDUNGAN

MAKSUD SYARIAT

Syariat Islam adalah hukum dan aturan Islam yang mengatur seluruh sendi kehidupan umat manusia, baik Muslim mahupun bukan Muslim. Selain berisi hukum dan aturan, Syariat Islam juga berisi penyelesaian masalah seluruh kehidupan ini. Maka oleh itu, sebagai penganut Islam, Syariat Islam merupakan panduan menyeluruh dan sempurna merangkumi seluruh permasalahan hidup manusia dan kehidupan dunia ini.

MAKSUD FIQH

Fiqh atau fiqah (Bahasa Arab: فقه‎ ) menurut bahasa bererti mengetahui dan memahamkan. Menurut istilah adalah suatu ilmu yang menerangkan segala hukum syara' yang diambil dari Al-Quran dan Sunnah Rasululllah s.a.w. secara penelitian yang mendalam iaitu dengan jalan ijtihad DNA istinbat.

KEPENTINGAN SYARIAT DAN FIQH

1) Memelihara kesucian agama Islam

Pada zaman kegemilangan Tamadun Islam dahulu sahabat-sahabat sanggup mengorbankan harta mahupun nyawa demi memelihara agama Islam ini. Berkat pengorbanan pahlawan-pahlawan Islam yang lampaulah kita hari ini dapat mengenali dan menjadi penganut Islam tanpa melalui penat lelah perjuangan pejuang-pejuang Islam terdahulu.

Surah Al-Imran:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ ﴿٨٣﴾
Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan

2) Menjamin usaha pemikiran dan penguasaan harta

Memiliki kekayaan merupakan naluri semula jadi manusia. Maka Allah SWT meraikannya dan tidak menghalang.

Surah Al-Jumuah ayat 10:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿١٠﴾
Apabila telah ditunaikan shalat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah karunia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung

3) Menjamin kemurnian fikiran dan kewarasan akal

Akal adalah anugerah Allah SWT yang paling berharga kepada manusia. Akal juga lah ciri utama yang menentukan hakikat kemanusiaan. Dengan ini, Islam telah melarang umatnya untuk melakukan perkara-perkara yang merosakkan akal fikiran.

Surah Al-Maidah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

4) Menjamin kehormatan, maruah diri dan keturunan

Keingkaran dan ketidakpatuhan manusia kepada syara' telah mengakibatkan perlakuan seks bebas dan merosakkan kehormatan dan keturunan. Demi memelihara manusia, akhlak dan keturunannya, al-Quran telah menjelaskan aspek penghukuman yang tegas terhadap jenayah zina.

Surah An-Nur ayat 2:

لزَّانِيَةُ وَ الزَّانيفَاجْلِدُوا كُلَّ واحِدٍ مِنْهُما مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلا تَأْخُذْكُمْ بِهِما رَأْفَةٌ فيدينِ اللهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَ الْيَوْمِ الْآخِرِ وَ لْيَشْهَدْ عَذابَهُما طائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنينَ
Perempuan yang berzina dengan laki-laki yang berzina, hendaklah kamu dera tiap-tiap satu dari ke­duanya itu dengan seratus kali deraan.Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan kasihan kepada keduanya di dalam menjalankan (ketentuan) agama Allah yaitu jika kamu sebenarnya beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah hukuman keduanya itu disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman


PERBANDINGAN ANTARA SYARIAT DENGAN FIQH

Syariah ialah hukum atau peraturan yang diperundangkan oleh Allah SWT melalui Al-Quran dan Al-Sunnah serta pecahan-pecahannya seperti Ijmak, Qias, dan lain-lain. Hukum Syariah terbahagi kepada dua iaitu:

a) Hukum yang dinyatakan secara langsung, terang dan jelas (qat’ I ) di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. 

b) Hukum yang diijtihadkan dan diistinbatkan oleh para fuqaha' daripada dalil-dalil yang terkandung dalam al-Quran dan Al-Sunnah dan hukum yang diijtihadkan dengan cara qias dan lain-lain.

Manakala, Fiqh adalah penjelasan hukum-hukum umum dengan ilmu-ilmu. Antara ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Fiqh ialah: 

a) Kefahaman yang mendalam mengenai sesuatu perkara

b) Pengkajian hukum-hukum amaliyyah daripada dalil-dalil yang terperinci (tafsili)

c) Ilmu yang diperoleh melalui penggunaan akal, daya usaha yang gigih dan pengkajian yang mendalam.

d) Hukum syarak yang berkaitan dengan amalan yang diistinbatkan daripada dalil-dalil tafsili

CONTOH YANG BERKAITAN DENGAN ISU SEMASA

Dewasakini dapat kita lihat akan isu yang sering berbangkit mengenai perkongsian harta benda awam mahupun individu di antara orang Islam dan orang bukan Islam. Antara contoh isu yang berbangkit adalah "Penggunaan dan Perkongsian Microwave dengan Makanan Tidak Halal" dipetik daripada Laman Web Majlis Ulama ISMA yang mana secara kesimpulannya dinyatakan bahawa tidak berkongsi microwave adalah LEBIH UTAMA, namun jika tiada pilihan maka HARUS berkongsi microwave pada pandangan sebahagian ulamak dan orang Islam juga dituntut mengambil sikap wara' dengan berhati-hati menggunakan perkakas dapur yang berkongsi dengan makanan tidak halal terutamanya di pejabat kerana ianya boleh dikategorikan sebagai syubhah ataupun ragu-ragu. Secara amnya, hujah ini juga boleh digunapakai terhadap isu yang hangat diperkatakan sekarang iaitu pembukaan pusat dobi untuk kegunaan umat Islam sahaja bagi tujuan kesucian. Ini penting bagi mengelakkan syubhah dan ianya bertepatan dengan syara' iaitu menjauhi perkara yang ragu-ragu. 

Antara isu berbangkit berkait dengan syariat pula adalah berkenaan isu di mana anak tak sah taraf (anak luar nikah) dibin/bintikan dengan nama bapa yang mana jelas dinyatakan oleh Majlis Fatwa Majlis Kebangsaan, hanya anak yang dilahirkan enam bulan dua lahzah sahaja boleh dibinkan kepada bapa. Segala apa yang dinyatakan oleh Majlis Fatwa adalah selari dengan syariat Islam maka adalah tidak boleh anak luar nikah dibin/bintikan nama bapa nya. 

3.0 RUMUSAN

Secara rumusnya, syariat dan fiqh kedua-duanya memainkan peranan penting dalam kehidupan kita sebagai umat Islam kerana ianya merupakan panduan yang digunakan bagi menempuh kehidupan di muka bumi Allah ini. Mempunyai satu panduan lengkap seperti syariat serta fiqh dapat membentuk umat Islam yang diredhai dan diberkati oleh Allah SWT. Pentingnya syariat dan fiqh ini adalah kerana dapat memelihara kesucian agama Islam, menjamin usaha pemikiran dan penguasaan harta, menjamin kemurniaan fikiran dan kewarasan akal serta menjamin kehormatan, maruah diri dan juga keturunan. Perbandingan paling utama antara syariat dan fiqh adalah syariat merupakan hukum atau peraturan yang diperundangkan oleh Allah SWT melalui Al-Quran dan Al-Sunnah, manakala Fiqh adalah penjelasan hukum-hukum umum dengan ilmu-ilmu. Sebagai umat Islam, kita perlu mematuhi syariat dan fiqh bagi peroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, dengan izinNya. 

4.0 RUJUKAN

1) Buku Sains, Teknologi dan Kejuruteraan dalam Islam